Artis Sambut Maulid
Oleh Nor Akmar Samudin dan Ramlah Zainal
am@hmetro.com.my
Rap
DUA belas Rabiul Awal kembali menemui kita. Hari ini pastinya menggamit memori kita kepada sambutan Maulidur Rasul yang amat tipikal kepada umat Islam. Tiba hari yang ditunggu iaitu cuti umum, bergema selawat ke atas Rasulullah, marhaban dan qasidah yang memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Aktiviti seharian manusia dimotivasikan dua perkara iaitu naluri dan keperluan jasmani. Oleh itu untuk menjalani kehidupan dengan sempurna di muka bumi ini umat manusia memerlukan seseorang yang boleh menunjuk arah. Siapa lagi kalau bukan Rasulullah. Baginda membawa utusan Allah untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran dan hidup berlandaskan hadis serta al-Quran.
Tanpa Rasulullah yang membuktikan kewujudan Allah SWT, tentu manusia hidup dalam kegelapan dan jauh dari kebenaran. Rasulullah datang untuk menerangkan kepada manusia supaya beriman kepada Pencipta dengan cara yang sebenar-benarnya tanpa ada unsur prasangka.
“Dialah yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama.” ( Surah Al-Fath:28)
Justeru hendaklah kita menjadikan baginda sebagai contoh terbaik.
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan rahmat dan keredaan di Hari Kiamat.” ( Surah Al-Ahzab: 21 ).
Bagaimanapun, ini bukan bermakna baginda hanya layak dijadikan idola untuk dikenang pada hari ulang tahun kelahirannya saja. Sebaliknya kita sebagai umat Islam sejati hendaklah mengambil contoh teladan yang ditunjukkan baginda dalam semua urusan termasuk sistem pemerintahan, ekonomi, sosial, perundangan, hukuman, pendidikan dan lain-lain.
Justeru, sempena keputeraan Rasulullah hari ini, Rap menemubual artis terkenal tanah air bagi berkongsi pandangan mereka mengenai pengertian sambutan hari kelahiran kekasih Allah itu.
Iqram Dinzly akan memanfaatkan hari kelahiran Rasulullah dengan mensedekahkan al-Fatihah kepada baginda serta banyak berselawat. Kesibukannya sebagai artis tidak pernah melalaikan kewajiban Iqram terhadap agama dan Rasul-Nya.
“Saya akan membaca surah Yasin untuk dihadiahkan kepada Rasulullah SAW. Biasanya jika ada kelapangan saya sekeluarga akan mengadakan doa selamat. Kita perlu mengingati Rasulullah SAW setiap hari namun hari ini lebih istimewa kerana ia adalah hari keputeraan baginda.
“Kepada remaja hari ini, contohi sikap Rasulullah untuk kehidupan yang baik di dunia dan akhirat. Jangan terlalu dengan kehidupan duniawi kerana yang hidup pasti akan mati. Sebelum terlambat, bertaubatlah kerana Allah sentiasa mengampuni setiap kesalahan hamba-Nya.
“Rasulullah adalah sebaik-baik idola. Semoga setiap daripada kita dapat memanfaatkan hari ini dengan sebaiknya. Sebenarnya hajat hati ingin mengunjungi kenalan di Jakarta. Kami berjumpa ketika saya mengerjakan umrah dua tahun lalu. Keluarga yang saya kenali itu adalah k keturunan ke-37 Rasulullah dan setiap tahun mereka mengadakan sambutan Hari Maulidur Rasul dengan meriah sekali.
“Saya menyaksikan perayaan itu menerusi VCD yang mereka bawa. Saya dapat merasakan betapa meriahnya perarakan yang diadakan. Tetapi tahun ini saya masih berkesempatan menyambut Maulidur Rasul di sana kerana sibuk bekerja,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Iqram pada masa lapang dia gemar membaca buku sejarah Rasulullah dan sahabat baginda sebagai panduan hidup.
“Kita mempunyai pelbagai cara untuk menghayati kehidupan dan sejarah perjuangan Rasulullah termasuk melalu pembacaan,” katanya.
AC Mizal yang kini mempunyai anak yang semakin membesar berusaha mendidik keluarganya ke jalan yang diredai Allah SWT.
“Hari ini saya berkumpul bersama keluarga bersolat sunat bersama dan bersalawat ke atas Rasulullah SAW. Jika setiap tahun kita beriya-iya meraikan Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Memperingati Kekasih dan bermacam perayaan lagi kenapa tidak menjadikan Maulidur Rasul ini hari yang paling istimewa buat kita semua.
“Satu hari dalam setahun kita menyambut hari keputeraan Rasulullah, bukannya setiap hari. Lupakan seketika urusan dunia. Ada yang sanggup berhabis menyambut Hari Memperingati Kekasih sedangkan ia adalah haram di sisi agama. Saya kini sedang mendidik anak saya, Muhd Reeve Damien (5 tahun) mendirikan solat dan sebagai bapa saya perlu terlebih dulu menunjukkan contoh yang baik buat anak.
“Basahilah bibir anda dengan bersalawat ke atas Rasulullah dan mohonlah syafaat daripada baginda. Apatah lagi hidup sekarang yang penuh dengan cabaran jadi sebaiknya kita kembali kepada ajaran Rasulullah SAW,” katanya.
Setiap kali tibanya Maulidur Rasul, Yusrizan Usop atau Bob AF terkenangkan kemeriahan sambutan hari itu di kampungnya, Limbang, Sarawak. Sebelum menjadi penyanyi terkenal seperti hari ini, setiap tahun Bob menyertai perarakan Maulidur Rasul.
“Saya dilantik menjadi ahli jawatan kuasa perarakan di Limbang. Setiap tahun sambutannya sangat meriah siap denan sepanduk. Sebelum itu diadakan pula pertandingan pada sepanduk itu siapa yang paling cantik. Turut diadakan pertandingan hadrah dan nasyid.
“Di kampung saya ada kumpulan nasyid sendiri iaitu Saitul Hanin yang bermaksud merdu. Kumpulan kami juga beberapa kali berjaya masuk pertandingan nasyid Maulidur Rasul peringkat Negeri Sarawak.
“Limbang juga pernah jadi dilantik menjadi penganjur Maulidur Rasul peringkat kebangsaan. Sambutan di sana memang meriah sekali. Kita juga pernah menjemput artis popular mengadakan persembahan. Sekarang sejak sibuk dengan aktiviti seni, jarang lagi berkesempatan balik meraikan Maulidur Rasul di kampung.
“Kepada generasi muda terutamanya, jangan abaikan tanggungjawab kita sebagai umat Islam. Saya puji langkah pihak sekolah yang setiap tahun mengadakan sambutan Maulidur Rasul pada peringkat sekolah. Perkara yang baik itu harus dididik bermula daripada mereka kecil supaya besar nanti menjadi masyarakat berguna, negara, bangsa dan agamanya,” katanya.
Bagi pelakon Fouziah Gous, dia juga mempunyai pengertian tersendiri mengenai sambutan Maulidur Rasul yang juga hari untuk mengingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Selalunya, saya juga tidak terbabit dengan sebarang penggambaran drama atau filem pada hari yang mulia itu. Seperti sambutan sebelumnya, saya memanfaatkan hari cuti itu untuk meningkatkan ibadah dan amalan sedia ada serta banyak berselawat untuk kekasih Allah itu,” katanya .
Fouziah yang baru saja selesai penggambaran drama Arah Kiblatku arahan Rashid Sibir berkata, golongan artis juga memainkan peranan tersendiri untuk menyemarakkan lagi sambutan Maulidur Rasul sekaligus mengajak masyarakat Islam untuk sama-sama menyintai Rasulullah dan menghayati perjuangannya menegakkan syiar Islam.
“Lebih banyak program dan pengisian sambutan Maulidur Rasul diadakan sekaligus menyemarakkan lagi sambutan ini saban tahun. Selain program hiburan bercorak keagamaan, lebih banyak drama berkaitan Rasulullah dan perjuangannya diterbitkan stesen televisyen tempatan dari semasa ke semasa,” katanya.
“Program hiburan dan drama berkaitan Rasulullah dan pahit getir perjuangannya itu boleh menarik perhatian generasi muda untuk sama-sama mencintai Rasullah dan menjadikannya idola dalam kehidupan mereka untuk menempuhi kehidupan yang penuh cabaran ini,” katanya.
Sementara itu, pelakon yang kini bergelar penyanyi, Liyana Jasmay berkata, dia sudah disemai dengan semangat cintakan Rasulullah SAW oleh kedua ibu dan bapanya sejak kecil lagi.
“Selain ibu bapa, saya juga banyak mendapat pendedahan mengenai sambutan Maulidur Rasul dari guru ketika masih di bangku sekolah.
“Selepas bergelar artis, emak yang sering mengingatkan saya dengan sambutan Maulidur Rasul ini dan pada masa sama supaya saya tidak terlupa untuk bersalawat kepadanya setiap kali teringat padanya. Selalunya, keluarga saya akan bersedekah di masjid pada sambutan Maulidur Rasul,” katanya.
Bagaimanapun, kata Liyana, dia juga mengakui tidak banyak drama atau program berkaitan sambutan Maulidur Rasul dianjurkan kebelakangan ini.
“Saya berharap, sambutan Maulidur Rasul dianjurkan secara besar-besaran dengan pembabitan golongan artis supaya junjungan kita Nabi Muhammad SAW akan terus diingati terutama di kalangan generasi muda di luar sana,” katanya.
Harian Metro
Soseh Soseh: Sheila Majid Pengetua AF7?
Rap
SEPERTI biasa sebaik masuk saja musim baru program realiti TV, Akademi Fantasia, pelbagai spekulasi ditimbulkan pemerhati dan peminat setia rancangan itu.
Tidak terkecuali, rancangan Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang kini giat menjalankan uji bakat bagi memilih pelajar dirasakan layak.
Selain pelajar antara yang menjadi perhatian adalah pengacara, tenaga pengajar dan pengetua yang bakal mengendalikan kelas diadakan.
Tahun ini SS mendapat beberapa maklumat daripada sumber dalaman penerbitan AF7 itu sendiri.
Difahamkan pada tahun ini Sarimah dan AC Mizal masih lagi dikekalkan sebagai pengacara.
Seperti biasa Sarimah atau lebih popular dengan panggilan Kak Mah Gali akan mengacarakan rancangan Diari, disiarkan setiap hari sementara AC Mizal akan mengendalikan konsert mingguan.
Kata sumber itu lagi, pengacara tidak mungkin akan bertukar kerana masing-masing sudah menandatangani kontrak untuk lima tahun.
Bermakna Aznil tidak akan kembali sebagai pengacara seperti apa yang digembar-gemburkan sebelum ini? Menyentuh mengenai hal itu kata sumber, Aznil tetap akan kembali dalam AF7 tetapi bukan sebagai pengacara atau tenaga pengajar sebaliknya dia diberikan tugas sebagai pengkritik tetap.
Begitupun jawatannya itu boleh ditukar di saat-saat akhir kerana kontrak belum lagi ditandatangani.
Lalu siapakah yang akan mengendalikan AF7 sebagai pengetua? Apa yang SS tahu setakat ini produksi baru yang mengendalikan rancangan ini sudah bertemu dengan ramai calon sesuai termasuklah Datuk Sheila Majid.
Katanya lagi, Sheila tertarik dengan tawaran diberikan untuk menjadi pengetua AF7, bagaimanapun pengesahannya belum lagi diperoleh kerana seperti Aznil, penyanyi digelar ratu jazz itu juga belum lagi diberikan kontrak.
Takut nanti apabila berita ini SS sudah siarkan ia tidak lagi menjadi kejutan, dan terpaksa mereka menjadi calon lain.
Apapun bukankah Akademi Fantasia penuh kejutan.
Harian Metro
Kutipan Cicakman 2 Tersasar
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Norman yakin boleh capai lebih RM3 juta sehingga akhir tayangan
SEHINGGA Ahad lalu, filem Cicakman 2: Planet Hitam (C2PH) arahan Yusry Abdul Halim, terbitan KRU Studios memungut RM2.5 juta hasil tayangannya di kira-kira 70 skrin di Malaysia, Brunei dan Singapura.
Pungutan berkenaan dikatakan agak tersasar daripada ramalan awal Produser Eksekutifnya, Norman Abdul Halim. Berdasarkan kejayaan yang dilakukan dua filem mereka terdahulu, Cicak-Man dan Duyung, sepatutnya filem terbaru itu juga mampu memungut sehingga RM4 juta dalam tempoh yang sama.
Cicak-Man yang menemui penonton pada Disember 2006 akhirnya memungut kira-kira RM6.7 juta. Ia muncul filem pertama Malaysia menampilkan watak adiwira dalam bentuk kelakar. Ia juga menampilkan kira-kira 41 peratus elemen CGI. Percubaan berani KRU menampilkan sesuatu yang berbeza menerusi filem sulung mereka itu cukup berbaloi apabila peminat berpusu-pusu ke pawagam untuk menonton garapan Yusry.
Manakala Duyung yang diterbitkan KRU Studios dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn Bhd (kini Primeworks Studios) dan Line Clear Motion Pictures menemui penonton pada Mac lalu. Filem arahan Prof Madya A Razak Mohaideen yang digarap dalam bentuk komedi dan fantasi itu turut mencuri perhatian penonton, sehingga membolehkannya memungut kira-kira RM5 juta.
Kini, KRU Studios berharap, C2PH dapat melepasi angka RM3 juta dengan baki tayangan yang tinggal beberapa hari lagi. Ketika ini, filem terbabit bersaing hebat merebut penonton bersama filem bercorak thriller terbitan Tayangan Unggul, Histeria, daripada pengarah James Lee.
Selepas lima hari, Histeria yang menampilkan ramai pelakon remaja perempuan itu sudah pun memungut RM1.1 juta hasil tayangan di 47 skrin.
Menyentuh pungutan C2PH yang boleh dikatakan perlahan berbanding filem KRU Studios yang lalu, Norman berkata, faktor saingan sesama filem tempatan serta kaitannya dengan Skim Wajib Tayang, sebagaimana yang diperkatakan oleh Afdlin Shauki sebelum ini mempunyai kebenarannya.
Malah, kata Norman, saingan utama masih lagi daripada filem besar dari Amerika Syarikat, yang berkebetulan membanjiri pawagam sesuai dengan musim perayaan. Bersaing bersama C2PH ialah filem mega lakonan Keanu Reeves, The Day the Earth Stood Still, yang memungut hampir RM4 juta sehingga 21 Disember lalu.
“Pada amnya, semua produser mengharapkan pungutan yang lebih baik bagi filem yang ditayangkan sepanjang tahun ini. Namun, apa yang dapat kita lihat, pungutan beberapa filem adalah di bawah jangkaan sebenar. Seperti C2PH sendiri, ia sepatutnya mampu mencatat kutipan lebih baik.
“Begitupun, pungutan sebanyak RM2.5 bukanlah bermakna filem terbitan kami gagal. Malah kami menjangkakan, ia mampu melepasi RM3 juta dalam masa terdekat,” katanya.
C2PH sekali lagi menampilkan Saiful Apek sebagai tunjang, memegang watak lelaki yang memiliki kuasa luar biasa setelah terbabit dalam insiden di sebuah makmal.
Kali ini, Profesor Klon (Aznil Nawawi) kembali, bukan hanya untuk menjatuhkan kerajaan, seterusnya mengangkat dirinya sebagai pemerintah, bahkan dia turut merancang untuk mengawal bekalan air bersih dunia menerusi rancangan Planet Hitamnya. Kini, Cicakman mempunyai 72 saja untuk menyelamatkan dunia sebelum segala-galanya terlambat.
Selain Apek dan Aznil, filem terbabit juga membariskan Fasha Sandha, AC Mizal, Adlin Aman Ramlie, Louisa Chong, Julia Ziegler, Sharifah Amani dan Tamara Bleszynski sebagai pelakonnya. Pengarahnya sendiri, Yusry, turut muncul buat kali kedua menerusi filem adiwira kesukaan ramai ini.
Berita Harian
Kembara PGL Berterusan
Oleh AQMAR ALLADAD
aqmar.alladad@kosmo.com.my

TIARA bersama barisan penaja dan media rasmi yang bakal menjayakan PGLTM musim ketiga.
SELEPAS meraih pelbagai kejayaan diluar jangkaan, Puteri Gunung Ledang The Muzikal (PGLTM) meneruskan kembaranya sekali lagi di Istana Budaya (IB), 6 Februari tahun depan selama 16 hari.
Pementasan teater muzikal yang tidak jemu meraih perhatian penonton ini, membuat keputusan untuk mengabdikan kejayaan lalu dengan kembali ke pentas berprestij IB setelah mendapat permintaan tinggi daripada peminat setia.
PGLTM yang mencipta rekod sebagai teater Melayu pertama yang dipentaskan hampir sebulan di IB, kini meneruskan hayatnya di IB untuk musim ketiga.
Lebih membanggakan lagi, walaupun ia bukannya pertama kali dipentaskan tetapi jualan tiket sudahpun mencecah 10,000 keping setelah sebulan dijual di pasaran. Ini bermakna PGLTM sememangnya masih kuat di hati peminatnya.
“Ini berita yang saya juga baru terima. Memang diluar jangkaan kerana jualan tiket kita begitu laju iaitu 10,000. Ini bermakna hanya 35 peratus tiket belum habis dijual,” jelas Datin Seri Tiara Jacquelina dengan penuh gembira pada sidang media di Borneo Rainforest baru-baru ini.
Berdasarkan kutipan tiket yang begitu memberangsangkan itu, Tiara lebih yakin untuk menyajikan persembahan terbaik kepada penonton setia PGLTM kerana ia merupakan harapan tinggi daripada peminat.
Dalam menyajikan persembahan bukan sahaja menarik tetapi segar di mata peminat, Tiara seringkali mengingatkan tenaga kerja bahawa anggapan penonton perlu dititikberatkan kerana mereka akan membezakan persembahan-persembahan yang lepas.
Sementara itu, Tiara yang tidak pernah patah semangat untuk memperjuangkan seni teater menjelaskan segala persiapan awal dari segi produksi sudahpun bermula pada bulan September lalu.

TIARA dan Stephen sekali lagi bergandingan dalam PGLTM.
“Skrip kita tak banyak ubah kerana skrip lama masih bagus cuma lirik lagu mungkin akan mempunyai sedikit perubahan sahaja,” katanya yang juga merupakan Penerbit Eksekutif sekaligus sebagai bintang utama pementasan tersebut.
Dalam pada itu, perubahan ataupun penambahan yang bakal dilaksanakan adalah hasil daripada pemerhatiannya setelah menyaksikan sendiri beberapa buah teater muzikal antaranya Wicked ketika berada di Australia lima bulan lalu.
PGLTM dibarisi tenaga kreatif yang terkenal dan berpengalaman dalam bidang teater seperti Datuk Zahim Al-Bakri selaku pengarah, Dick Lee (komposer), Adlin Aman Ramlie (penulis lirik, penulis skrip, pembantu pengarah dan pemegang watak Sultan Mahmud Shah), Roslan Aziz (pengarah muzikal), Adeline Tan (penerbit), Saw Teong Hin (penulis naskhah), Raja Malek (pereka set) dan Pat Ibrahim (koreografer).
Ia juga menggandingkan lakonan Tiara sebagai Puteri Gunung Ledang atau Gusti Puteri , Stephen Rahman-Hughes (Laksamana Hang Tuah), Adlin aman Ramlie (Sultan Mahmud), AC Mizal (Gusti Adipati) dan Ida Mariana (Bayan)
Menceritakan segala persiapan lain seperti mungkin ada perubahan watak, Tiara memberitahu watak utama dalam teater lagenda ini masih dikekalkan dengan pelakon asal.
“Watak utama seperti Adlin, AC Mizal memang kita tak tukar tetapi pelakon tambahan ada perubahan,” jelas Tiara yang akan memulakan latihan lakonan tidak lama lagi.
Diterbitkan oleh Enfiniti Productions Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, teater muzikal itu merupakan satu cabaran yang besar buat seluruh warga kerja selepas beberapa bulan berbincang dan bekerja keras.
Keterujaan penonton sekali lagi bakal bergema disanubari mereka dengan sebuah hasil produksi anak seni tempatan yang sungguh membanggakan.
Pementasan PGLTM musim ketiga telah mendapat sokongan dan penajaan daripada sektor korporat terkemuka iaitu Kumpulan Perbankan RHB, Public Bank Berhad dan kumpulan UEM Berhad.
Malah, ntv7 juga dilantik sebagai media rasmi selain penajaan daripada jenama alat solek terkemuka, M.A.C Cosmetics.
Sehubungan itu, kepada yang berminat menonton PGLM, tiket-tiket berharga RM30 hingga RM230 sudah boleh ditempah sekarang.
Tempahan boleh dibuat melalui laman web www.axcess.com.my atau hubungi talian 03-77115000.
Anda juga berpeluang untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai PGLTM dengan mengunjungi laman web www.pglthemusical.com.my.
Kosmo
Jom! Tengok Filem Percuma
Oleh JESSABELL SOO jessabell@kosmo.com.my

BAGI menyemarakkan lagi Festival Filem Malaysia 21 (FFM21) yang bakal berlangsung pada 9 Ogos ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), tayangan filem secara percuma bakal berlangsung khusus untuk khalayak pencinta filem tempatan.
Selama tiga hari di tiga pawagam berlainan termasuk GSC Alamanda, Putrajaya, TGV, KLCC dan Cathay Cineleisure, Damansara, tayangan yang diadakan setiap tahun ini menyediakan 5,000 tiket percuma bagi menonton 20 daripada 23 buah filem cereka yang akan dipertandingkan.
Bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai filem tempatan dan memupuk rasa minat terhadap karya tempatan, tiket tayangan percuma akan disiarkan menerusi radio rasmi FFM21, Sinar FM.
Dua buah filem iaitu Wayang dan Kami yang belum ditayangkan kepada umum dipilih khas sebagai tayangan perdana festival di GSC Alamanda, Putrajaya selepas acara pelancaran FFM21 yang akan dirasmikan malam esok.
Peminat juga boleh mendapatkan tiket di kaunter pawagam yang terlibat pada hari tayangan. Berikut adalah antara filem yang bakal ditayangkan sempena FFM21 untuk tatapan audiens.
EVOLUSI KL DRIFT
8 Ogos – 7 malam
TGV, KLCC
Pengarah: Syamsul Yusof
Pelakon: Farid Kamil, Syamsul Yusof dan Aaron Aziz
Mula tayang: 3 April 2008
ZACK dan Sham adalah dua sahabat rapat yang berkongsi hobi dan minat yang sama iaitu perlumbaan kereta dengan teknik drift.
Selalunya, perlumbaan kereta drift didominasi oleh golongan lelaki tetapi ia tidak menghalang teman wanita Zack untuk meminati perlumbaan itu.
Disebabkan sejarah kehidupan wanita berkenaan telah mengakibatkan krisis identitinya, maka Zack selalu melindungi kekasihnya daripada terjerumus dalam aktiviti tidak sihat.
Maka ini menyebabkan Zack dan teman wanitanya selalu bergaduh. Dan tanpa disedari, Sham menyimpan perasaan terhadap wanita berkenaan tetapi Sham tidak mahu memusnahkan hubungannya dengan Zack.
IMPAK MAKSIMA
8 Ogos – 7 malam
Cathay Cineleisure, Damansara
Pengarah: Ahmad Idham
Pelakon: Awal Ashaari, Eizlan Yusof, Zul Huzaimy, Cat Farish, Dynaz dan Opie Zami
Mula tayang: 23 Ogos 2007
Ayie (Awal Ashaari) adalah seorang pelajar kolej yang meminati perlumbaan kereta. Namun, Johari (Eizlan Yusof) abang kepada Ayie yang pernah menjadi pelumba kereta dan menjalankan perniagaan membaiki kereta, melarang Ayie terlibat dengan perlumbaan haram tersebut.
Johari bertanggungjawab terhadap adiknya selepas kematian ibu bapa mereka. Tetapi Ayie tidak mahu mendengar nasihat abangnya dan berkenalan dengan Ray (Zul Huzaimy) yang aktif dalam perlumbaan haram.
Perlumbaan haram yang mereka lakukan ini bukan sahaja melibatkan pertaruhan wang tetapi juga melibatkan gadis-gadis jalanan, seks, dadah dan juga ancaman gangster.
DUNIA BARU THE MOVIE
8 Ogos – 7 malam
GSC – Alamanda, Putrajaya
Pengarah: Yeop Hitler Zami
Pelakon: Pierre Andre, Elyana, Anita Baharom, Baizura Kahar, Anne Ngasri dan Almy Nadia
Mula tayang: 7 Februari 2008
DIADAPTASI daripada siri televisyen Dunia Baru, filem ini mengisahkan Opie (Elyana) yang mendapat kejutan melalui surat yang ditulis oleh Anizah (Anita Baharom).
Dalam surat tersebut, Anizah menyatakan hasratnya untuk pergi ke Thailand dan kahwin lari bersama Fazley (Mohd Hafiz). Begitu tekad untuk berkahwin, Anizah juga sanggup menolak pelawaan belajar di United Kingdom.
Oleh itu, Opie bersama kawan-kawannya Madihah (Anne Ngasri), Suzanna (Almy Nadia), Adif (Pierre Andre) dan Tajol (Wan Elyas) berpakat untuk mengubah fikiran Anizah.
CUCI
8 Ogos – 3 petang
GSC – Alamanda, Putrajaya
Pengarah: Hans Isaac
Pelakon: Afdlin Shauki, AC Mizal, Awie, Hans Isaac, Erra Fazira dan Umie Aida
Mula tayang: 24 Januari 2008
EMPAT pemuda yang merupakan anak angkat kepada sebuah keluarga telah meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke Kuala Lumpur dengan satu azam untuk menceburi perniagaan pembersihan.
Sebelum ini mereka banyak terlepas peluang pekerjaan kerana sikap kurang ambil berat. Namun Fairil (Afdlin Shauki) telah menggalakkan mereka untuk menyertai pertandingan Window Washing Olympic.
Pemenang dalam pertandingan ini akan menerima satu kontrak pembersihan yang besar iaitu membersihkan tingkap dan cermin bangunan pencakar langit KLCC.
Berjayakah Fairil, Tan (AC Mizal), Jojo (Awie) Khai (Hans Isaac) dari syarikat Cuci-Cuci Services memenangi pertandingan itu? Saksikan sendiri untuk mengetahui jawapannya dalam naskhah komedi yang mengutamakan hubungan persaudaraan dan persahabatan ini.
1957: HATI MALAYA
8 Ogos – 9.30 malam
GSC – Alamanda, Putrajaya
Pengarah: Suhaimi Baba
Pelakon: Maya Karin, Sharifah Amani, Mohd Kamarulzaman, Zaefrul Nadzarine Nordin, Noor Azhar Murad, Nanu, Kee Thuan Chye, Chew Kin Wah dan Chacko Vadaketh
Mula tayang: 25 Oktober 2007
BERBEKALKAN semangat kemerdekaan, empat remaja Malaysia, Salmi, Razak, Ani dan Angee telah ditugaskan untuk menghasilkan buku mengenai tahun 1957. Semasa menghasilkan buku ini, mereka berempat seakan-akan berada di zaman ambang kemerdekaan.
Mereka membayangkan watak, momen emosi dalam mencari maksud sebenar kemerdekaan yang dicapai pada tahun 1957.
Maka ia memfokuskan kembali kepada sejumlah tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan yang telah dikenali dalam teks sejarah sekolah.
Konsep naratifnya bergerak secara kronologi dengan permulaan Perang Dunia Kedua, penguasaan semula British dan kemuncak kebangkitan nasionalisme dan perjuangan kemerdekaan oleh tokoh-tokoh politik UMNO seperti Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail serta tokoh-tokoh MCA dan MIC.
SEPI
10 Ogos – 3 petang
Cathay Cineleisure, Damansara
Pengarah: Kabir Bhatia
Pelakon: Vanidah Imran, Riezman Khuzaimi, Nasha Aziz, Tony Eusoff dan Afdlin Shauki
Mula tayang: 26 Jun 2008
MEREKA bertiga tidak mengenali tetapi bertemu dalam satu kemalangan. Namun, mereka berkongsi perasaan yang sama iaitu cinta, kehilangan dan kesepian.
Adam (Afdlin Shauki), seorang tukang masak berjaya dan meluaskan kerjayanya dengan mereka hiasan untuk majlis perkahwinan. Tetapi dengan semua kejayaan itu dia masih membujang.
Sufi (Tony Eusoff) pula sedang berjuang untuk melenyapkan memori pemergian isterinya yang telah mati. Sementara itu, Imaan (Baizura Kahar) seorang penulis teater muda yang menjadikan pentas teater sebagai tapak memahami masa silamnya serta masa depannya.
ANAK HALAL
10 Ogos – 7 malam
GSC – Alamanda, Putrajaya
Pengarah: Osman Ali
Pelakon: Farid Kamil, Maya Karin, Kartina Aziz, Raja Farah, Remy Ishak, Rosyam Nor dan Adi Putra
Mula tayang: 13 Disember 2007
HISHAM (Rosyam Nor), seorang penjenayah dalam keadaan terdesak terpaksa menyerahkan bayi lelakinya kepada Mariam, seorang perempuan gila. Dia kemudian telah ditangkap dan dipenjarakan.
Mariam yang gila dan hidup di jalanan membesarkan bayi tersebut Indraputera (Farid Kamil) dalam serba kedaifan. Mereka tinggal di kawasan setinggan dan berjiran dengan Bu Leha (Kartina Aziz) dan anak perempuannya, Jo (Maya Karin) yang menyukai Indraputera dalam diam.
Namun, kebahagiaan Indraputera bersama ibunya berakhir apabila mereka dipisahkan oleh pihak berkuasa. Dia kemudian dibesarkan oleh Bu Leha yang membawa Indraputera dan Jo berpindah ke Kuala Lumpur dengan harapan hidup mereka akan menjadi lebih baik.
Mereka membesar sebagai remaja jalanan dan Indraputera bekerja di bengkel kereta sementara Jo dan ibunya pula berniaga buah-buahan di Pasar Chow Kit.
Erzan (Ady Putra) dan Amira Atikah pula adalah antara sahabat rapat Indraputera dan Jo. Mereka telah terjebak dalam kancah najis dadah akibat tekanan dan desakan hidup.
Amira yang ketagihan dadah telah melarikan diri dari rumah. Selain mengedar dan menagih dadah, Erzan yang terpaksa menanggung beban hutang tinggalan ayahnya telah menjadi buruan pengikut Hisham.
KALA MALAM BULAN MENGAMBANG
9 Ogos – 3 petang
Cathay Cineleisure, Damansara
Pengarah: Mamat Khalid
Pelakon: Rosyam Nor, Umie Aida, Farid Kamil dan Sofi Jikan
Mula tayang: 10 Januari 2008
SEBUAH filem hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang merungkai misteri kehilangan pemuda di pekan Senduduk Rimbun pada setiap kali purnama menjelang. Misteri bermula apabila tayar kereta Saleh, seorang wartawan ditusuk dengan sesuatu benda yang menyerupai rangka tangan sedang memegang ukiran lama berbentuk keris.
Oleh kerana tayar kereta yang pancit, Saleh terpaksa menghantar keretanya ke bengkel Jongkidin dan bermalam di pekan itu. Sepanjang berada di pekan Senduduk Rimbun, Saleh menyedari penduduk pekan itu seperti ingin menghalau dia pergi dari situ.
Semakin lama Saleh tinggal di pekan itu, semakin banyak perkara misteri berlaku. Maka dia bernekad untuk mencari dan merungkai setiap peristiwa misteri yang berlaku di sana.
DUYUNG
9 Ogos – 7 malam
Cathay Cineleisure, Damansara
Pengarah: A. Razak Mohaideen
Pelakon: Saiful Apek, Maya Karin, Yassin Yahya, Yasmin Hani dan Awie
Mula tayang: 6 Mac 2008
JIMMY (Saiful Apek) yang mempunyai satu tabiat suka menjaga kebersihan alam sekitar sejak kecil. Dia juga mempunyai sikap yang ganjil dan berkawan dengan Orix (spesies Big Foot) sehingga semua penduduk kampung tidak suka bergaul dengannya.
Namun, dia menaruh hati terhadap Aspalela (Yasmin Hani) anak kepada Tok Mudim kampung. Pada suatu hari, Jimmy ingin meminang Aspalela tetapi ditentang Tok Mudim yang mencabar Jimmy supaya mempunyai tanah sendiri jika ingin mengahwini anaknya.
Sementara itu, Kordi (Awie) adalah seorang pemuda yang berjaya dan juga berhasrat untuk memperisterikan Aspalela. Kordi yang membenci Jimmy kerana selalu menghalangnya menangkap ikan menyuruh Jimmy untuk berkahwin dengan ikan duyung.
Siapa sangka, Jimmy akhirnya bertemu dengan ikan duyung (Maya Karin) yang membantunya menjadi kaya.
Kosmo
Personaliti: Ustaz Dzul Dakwah Guna Multimedia
SAMPAIKAN ILMU: Dzulkarnain (kiri) bersama Hassan Mahmood yang menjadi tetamu program Kalam Suci.
Manfaat program bual bicara tarik semua lapisan masyarakat dalami ilmu al-Quran
BERCERAMAH, mengajar al-Quran, mengelola jemaah haji dan umrah, mengacara program televisyen, mencipta lagu hingga merancang majlis perkahwinan, semua dilakukan atas alasan membuktikan Islam adalah agama syumul yang berkait rapat dalam setiap aspek kehidupan umatnya.
Berpegang kepada prinsip, jika orang lain boleh buat kenapa orang Islam tidak boleh, mendorong pengelola haji dan umrah, Dzulkarnain Hamzah Al-Hafiz, 43, mencuba pelbagai perkara termasuk mempelajari teknologi multimedia untuk dimanfaatkan dalam setiap urusan dilakukannya.
Jika dulu hanya berceramah di depan jemaah dan mengajar al-Quran, tetapi berkat kesungguhan belajar serta berani mencuba, beliau mampu mengendalikan peralatan audio serta membuat rakaman ceramahnya sendiri.
Malah, sesi ceramahnya turut dilengkapi peralatan yang membolehkan hadirin menonton tayangan animasi hasil karya beliau yang bukan saja bertujuan menarik minat, juga sebagai nota tambahan yang menguatkan mesej disampaikan.
Bukan itu saja, majlis perkahwinan yang dirancangkan beliau bersama teman turut menggunakan kelebihan penggunaan lampu, asap serta alunan zikir irama kemelayuan diiringi kumpulan pemuzik.
“Orang kata Ustaz Dzul ini pelik. Sebenarnya, saya nampak teknologi mampu bantu buat orang dengar. Oleh itu, kenapa saya tidak gunakan teknologi untuk menyebarkan ilmu jika dengan itu akan memudahkan saya menyentuh jiwa mereka.
“Saya yang pertama menganjurkan Konsert Malam Kesenian Islam di Masjid As-Syakirin KLCC sempena menyambut kemerdekaan sejak tiga tahun lalu. Program yang menggabungkan ceramah dan hiburan berjaya menggamit ribuan orang datang,” katanya.
Katanya, ayat al-Quran serta zikir adalah penyembuh dan beliau menggunakan kecanggihan teknologi untuk menyentuh jiwa orang yang mendengar kerana apabila jiwa sudah disentuh, maka mudah melentur hati mereka.
Justeru katanya, pemilihan sebagai pengacara program Kalam Suci yang disiarkan di saluran 106 Astro Oasis memberi kelebihan kepadanya untuk mencapai satu lagi golongan iaitu mereka yang ingin mempelajari cara membaca al-Quran dengan betul.
Dazulkarnain berkata, program yang disiarkan setiap Khamis jam 10 malam, memberi peluang peserta yang menelefon membaca al-Quran, memahami hukum dan menjelaskan kembali hukum dengan bantuan tetamu jemputan.
Pada episod pertama yang disiarkan Khamis minggu lalu, tetamu jemputan ialah Hassan Mahmood Al-Hafiz yang turut menjelaskan kepada penonton mengenai sebab turunnya ayat dan ilmu dhobit (tanda baris yang ada dalam al-Quran).
Program Kalam Suci juga banyak menggunakan grafik dan gambar rajah sebagai pemudah cara bagi membantu penonton yang baru hendak mendekati al-Quran supaya dapat memahami apa disampaikan dengan lebih berkesan.
“Apabila berceramah, hanya golongan tertentu saja yang datang. Ketika mengendalikan ibadat haji dan umrah, hanya membabitkan jemaah haji dan umrah saja. Peluang mengacarakan Kalam Suci, saya harap dapat menarik semua golongan.
“Pendekatan program ini juga agak santai kerana kita hendak menarik penonton termasuk yang baru belajar membaca al-Quran supaya mereka tidak berasa kerdil dan bagi yang sudah pandai, dapat mempertingkatkan bacaan mereka,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman mengendalikan jemaah haji di Tanah Suci Makkah dengan amalan berzikir dan bacaan ayat al-Quran hingga berjaya menyentuh jiwa mereka dimanfaatkan untuk program berkenaan.
Katanya, alunan zikir yang indah dan halus mampu melentur serta memujuk hati yang jumud, beku dan kaku. Apabila jiwa sudah tersentuh, adalah mudah untuk mendekatkan mereka kembali kepada jalan Allah.
Mendekati anak kelahiran Kampung Jasin, Melaka itu, banyak pengalaman dilalui beliau yang pernah menjadi imam muda Istana Negara, berkhidmat selama 13 tahun sebagai guru agama di Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan kini aktif berceramah serta mengelola jemaah haji dan umrah.
Pembabitan beliau secara aktif dalam ilmu al-Quran bermula seawal di sekolah rendah kerana minat serta kemampuan membaca al-Quran dengan baik. Beliau pernah menjadi johan dalam Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Sekolah Negeri Melaka.
Malah, beliau turut terpilih mewakili Melaka dalam Pertandingan Tahfiz al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 1984 dan 1985. Pada 1985, beliau mewakili Malaysia dalam Pertandingan Taranum dan Tahfiz Peringkat Antarabangsa di Arab Saudi.
Walaupun bersekolah di sekolah menengah aliran Inggeris, kecintaan terhadap ilmu membaca al-Quran tidak pernah luntur dan kerana itu Dzulkarnain mengambil keputusan berhenti belajar di tingkatan empat dan memasuki sekolah pondok.
Beliau menyambung pelajaran di Maahad Muhamadi, Kota Bharu dan kemudian mendalami ilmu al-Quran di Darul Quran, Masjid Negara sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Jamiah Islamiah Madinah.
Pengalaman berdakwah ditimba ketika bertugas sebagai guru agama Kagat kerana selain memberi ceramah, beliau juga bertindak sebagai imam, bilal, pentadbir, menjadi jurunikah serta menguruskan jenazah.
Tugas semua dalam satu itu mendedahkan beliau kepada banyak perkara yang kini dipraktikkan apabila dijemput memberi ceramah, mengendalikan program motivasi, sebagai tetamu program agama di televisyen dan aktiviti dakwah yang lain.
Pengalaman menarik turut dikongsi beliau ialah ketika berdakwah di setiap kem tentera Malaysia yang bertugas di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Batambang, Kemboja yang dikelilingi tentera Khmer Rouge pada 1992.
“Tugas saya nak bagi kekuatan iman kepada tentera kita. Maklumlah, negara tengah perang banyak gejala tidak sihat yang mungkin mempengaruhi tentera di sana. Bercakap dengan tentera saya guna pendekatan banyakkan unsur jenaka untuk menarik minat mereka.
“Berdakwah dalam suasana perang, saya banyakkan qiamulail sebab kekuatan manusia ini ialah apabila bangun tengah malam. Alunan zikir memujuk hati kita untuk cinta kepada Allah. Setahun tiga bulan di sana, saya rasa kesan tarbiah apabila melihat perubahan mereka,” katanya.
Dzulkarnain berkata, mengelolakan jemaah haji di kalangan golongan atasan juga memerlukan beliau memahami kerenah manusia terutama ketika berada di rumah Allah supaya niat mereka menunaikan rukun Islam kelima itu mendapat keberkatan.
Justeru, selain ilmu psikologi beliau menggunakan zikir dan ayat al-Quran yang diajarkan kepada jemaah sebagai usaha melentur sifat ego serta mementingkan diri supaya mereka sedar tujuan kehadiran di Tanah Suci itu.
Kini, melalui program Kalam Suci beliau berharap dapat memujuk hati penonton untuk belajar ilmu al-Quran dan pada masa sama meneruskan minat dalam bidang seni termasuk mencipta lagu di samping melihat peluang merealisasikan cita-cita untuk mempunyai program bual bicara sendiri.
Katanya, kemampuan pengacara Aznil Nawawi dan AC Mizal menarik pelbagai lapisan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas, mengikuti program mereka, menguatkan semangat beliau untuk menghasilkan program berunsur keagamaan yang boleh menarik pembabitan semua ahli keluarga.
“Pastinya program saya tidak sama dengan mereka, tetapi apa yang saya idamkan, program itu mampu menarik perhatian semua lapisan masyarakat. Saya selalu berkata, jika mereka boleh tentu saya boleh.
“Saya juga hendak lari daripada konsep kalau ustaz mesti duduk. Dunia berubah dan begitu juga program agama, perlu keluar dari kepompong. Cuba nampakkan Islam boleh buat untuk Islam itu sendiri,” katanya yang mengakui memang suka menonton televisyen dan menghadap komputer pada masa lapang.
Profil
Dzulkarnain Hamzah
Tarikh lahir: 19 April 1965
Tempat lahir: Kampung Jasin, Melaka
Pendidikan: Ijazah sarjana muda dalam bidang tahfiz Jamiah Islamiah Madinah.
Isteri: Junaidah Zakaria, 35
Anak: Mohd Ikram, 19 Rabiatul Adawiyah, 16 Abdul Mughni, 11 Fathur Rahman, 7 Juyairiah, 5
Powered by Berita Harian
Kuiz Demam Bola Sempena Piala Dunia FIFA 2006
Oleh: WANDA IDRIS
SEMPENA Piala Dunia FIFA 2006 yang bakal berlangsung selama sebulan bermula 9 Jun ini, RTM akan menyiarkan sebuah program game show yang diberi judul Demam Bola.
Muncul dengan konsep unik dan menghiburkan, Demam Bola merupakan sebuah program kuiz hiburan yang berkisar mengenai perlawanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.
Dihoskan oleh pelakon dan penyanyi AC Mizal, program terbitan Nafalia Corporation Sdn. Bhd. itu akan disiarkan di TV1 bermula 2 Mei hingga 12 Julai ini.
Program 31 episod yang disiarkan selama setengah jam setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis itu bakal menghiburkan para peminat bola sepak dengan aksi lucu para peserta dan artis jemputan.
Menurut Pengarah Operasi Nafalia Corporation, Mohd. Najib Jaafar, setiap peserta yang menyertai program itu bukan sahaja mempunyai pengetahuan yang luas mengenai perlawanan bola sepak dunia empat tahun sekali itu tetapi juga ceria dan aktif.
“Demam Bola merupakan satu anjakan paradigma dalam penerbitan game show tempatan. Konsepnya diilhamkan oleh pihak produksi membabitkan kos penerbitan hampir setengah juta ringgit,” kata Najib ketika ditemui selepas pelancaran program itu yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.
Najib berkata, kira-kira 1,000 peserta datang untuk uji bakat program itu yang diadakan selama dua hari di Petaling Jaya, Selangor beberapa bulan lalu.
Namun hanya 16 kumpulan yang dipilih untuk meneruskan saingan dengan setiap kumpulan diwakili dua peserta dan seorang artis jemputan.
Kumpulan-kumpulan yang akan bersaing ialah Al-Kurawi, Viva, Jaring FC, Anak Belalang, Putrajaya FC, Rembat, Merah Bersatu, Rimba Bara, Deras, Biar Betul, Gol FC, Yeob FC, Jaguh, Romeo FC, Juara FC dan Jentayu, satu-satunya pasukan tunggal yang diwakili peserta wanita.
Sementara artis jemputan yang bakal memeriahkan Demam Bola ialah Mamat, Cat Ruffedge, Aidil AF3, Deja Moss, Dia Fadilla, Raja Azura, Angelina Tan, Sathiya, D-Va, Hans Isaac, Ezlynn, Pija Mentor, Arnieza Amir, Khadeeja, Achik Spin dan Siti Nordiana.
Kesemua 16 kumpulan itu perlu bersaing untuk mendapatkan tempat lapan terbaik bagi membolehkan mereka mara ke peringkat suku akhir.
Daripada lapan kumpulan, hanya empat kumpulan terbaik akan dipilih untuk meneruskan perjuangan ke separuh akhir. Kumpulan yang berjaya ke pertandingan akhir akan menerima pelbagai hadiah menarik dan wang tunai.
Kata Najib, pertandingan itu menyediakan hadiah utama iaitu peluang menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Dunia antara tuan rumah Jerman dengan pasukan Costa Rica.
“Seorang calon bertuah (sama ada peserta atau artis jemputan) yang mendapat markah tertinggi pada siri program tersebut akan memenangi Kasut Emas tajaan Adidas.
“Pemenang kumpulan bukan sahaja berpeluang ke Jerman tajaan penerbangan Emirates malah diberikan wang poket sebanyak RM5,000 oleh Hotlink,” jelasnya.
Setiap peserta yang bergelar juara pula, selain akan menerima trofi daripada Nafalia Corporation, juga akan turut membawa pulang motosikal edisi terhad Moskito RX125 Fussball Fever tajaan MZ Motorrad Sdn. Bhd. selain tiket penerbangan ke Jerman tajaan Emirates, jam tangan Orient tajaan A.D Time Sdn. Bhd. dan wang tunai sebanyak RM5,000.
Kumpulan yang menang tempat kedua pula akan menerima hadiah setiap seorang, tiket penerbangan ke Dubai, sepasang jam tangan Alain Delon dan wang tunai RM3,000.
“Pemenang pusingan pertama seramai 72 orang turut menerima pakej percutian daripada Glory Beach Resort, baucer Adidas, baucer Burger King dan pek permulaan edisi terhad Piala Dunia Hotlink,” kata Najib.
Menampilkan tiga segmen utama iaitu Sepak Mula, Separuh Masa dan Masa Kecederaan, setiap segmennya disesuaikan dengan ciri-ciri perlawanan bola sepak.
“Menariknya, pada segmen Masa Kecederaan, pelbagai telatah lucu dapat dilihat apabila para peserta perlu bermain bola sepak dengan menutup mata.
“Sekiranya keputusannya adalah seri, maka Masa Tambahan akan diberikan kepada mereka untuk menentukan pemenang,” kata Najib.
Menurutnya, rakaman program tersebut telah dimulakan sejak 18 Mac lalu dan akan berakhir pada 25 Mac ini.
Mengenai pemilihan AC Mizal sebagai pengacara program itu, Najib berkata, syarikatnya telah membuat pilihan yang tepat.
“AC Mizal bukan sahaja seorang pengacara yang bersahaja dengan lawak selambanya tetapi dia juga merupakan seorang peminat bola sepak yang mempunyai pengetahuan yang luas,” katanya.
Powered by Utusan Malaysia