Lucky Tertarik Bakat Anuar

DIA tidak mengenali siapa Anuar Zain sebelum ini. Namun, sejak diperkenalkan buat kali pertama oleh Tengku Syafiq yang memperdengarkan kehebatan vokal penyanyi tersohor itu hanya menerusi kiriman lagu I’m The Lucky One kepadanya, Lucky Octavian langsung jatuh hati pada bakat Anuar dan kini muncul antara ribuan peminatnya.

Lantas, berbisik di benaknya untuk merakamkan salah satu lagu Anuar bagi dimuatkan dalam album keduanya.

“Sewaktu Tengku Syafiq memperdengarkan kepada saya I’m The Lucky One, saya terus bertanya siapakah penyanyi yang bersuara cukup bagus dan lagunya pula sangat hebat.

“Tengku Syafiq memaklumkan penyanyi itu adalah Anuar, penyanyi terkenal Malaysia. Saya tanyakan lagi kepada Tengku Syafiq, siapakah pengkarya lagu berkenaan dan dia mengaku itu adalah hasil nukilannya.


“Saya terkejut dan teruja lantas meminta Tengku Syafiq menghasilkan satu lagu untuk saya seperti I’m The Lucky One. Saya langsung menjadi peminat Anuar Zain sehingga saya ada menyatakan hasrat kepada label Platinum (Disc Tarra) yang saya naungi untuk menyanyikan semula lagunya.


“Bagaimanapun, permintaan saya itu ditolak kerana syarikat rakaman sudahpun

menetapkan rangkaian lagu yang akan dimuatkan dalam album kedua. Insya-Allah, lain kali saya akan melaksanakan hasrat itu,” katanya.

Melanjutkan perbualan, andai dia tidak sibuk pasti dia akan datang menonton Konsert Anuar Zain – Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari yang bakal berlangsung 16 Februari ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

“Saya ingin sekali bertemu dengannya dan mahu melihat persembahannya secara langsung kerana ada beberapa rangkaian lagu seperti I’m The Lucky One, Lelaki Ini dan Ajari Aku yang saya sangat suka,” katanya sewaktu mengunjungi ibu negara, baru-baru ini.

Dilahirkan di Jakarta pada 9 Oktober 1981, Lucky mula menyanyi ketika di bangku sekolah lagi. Malah, pernah menjadi Duta Wisata dalam misi kebudayaan ke lima negara Asia, kemudian namanya disenaraikan sebagai finalis Bintang Radio dan Televisi serta Asia Bagus.

Namun, segalanya berubah apabila dia terpilih menjadi salah seorang finalis Indonesian Idol melalui babak ‘wild card’ dan bertahan sebagai enam peserta terbaik.

Saat berada dalam program realiti popular itu lagi, Lucky terserlah dengan keunggulan vokalnya yang begitu sinonim dengan nyanyian lagu malar segar.

Lantas diberi peluang merakamkan album Indonesian Idol ‘All Time Hits’ (2004) dan dipertemukan RCTI untuk membentuk Idol Divo (Delon, Mike dan Judika) sehingga sekarang.

“Selepas Indonesian Idol, karier saya mula berkembang, diberi peluang membuat persembahan di ratusan acara di dalam juga di luar kota, di mana saya sempat menimba pengalaman bekerjasama dengan pemuzik terkemuka tempatan dan antarabangsa, antaranya Indra Lesmana, Vinny Valentino, David Benoit dan Dave Koz untuk Java Jazz Festival 2006.

“Pengalaman lain tidak dapat dilupakan berkolaborasi dengan Magenta Orchestra. Saya menyanyikan dua lagu berjudul Dunia dan Pernah dalam album Interlude untuk Hati (2006).

“Pada tahun sama, saya dilamar menyanyikan lagu Cintaku yang dimuatkan dalam album runut bunyi Badai Pasti Berlalu sementara dua tahun kemudian (2008), dipilih merakamkan ‘jingle’ untuk lagu tema Summarecon, It’s a Wonderful Life dan jingle Prudential, We are number One dengan Idol Divo.

“Saya mengutip sebanyak mungkin pengalaman membuat persembahan sebelum akhirnya pada 2010, label Platinum (Disc Tarra) melamar saya sebagai artis rakaman mereka,” katanya.

Tambah Lucky, keputusannya untuk bernaung di bawah label itu bertepatan kerana dia dan pihak pengurusan syarikat berkongsi misi serta visi yang sama.

“Saya adalah pencinta lagu malar segar dan sejak remaja karya nyanyian penyanyi tersohor Indonesia termasuk antarabangsa sering menjadi pilihan saya kala membuat persembahan.

“Justeru, apabila pihak Platinum ingin membentuk album saya sebagai bingkisan yang memuatkan lagu saduran pernah dipopularkan mendiang Broery Marantika, saya terus bersetuju.

“Tambahan pula, lagu Aku Begini Engkau Begitu, Angin Malam, Aku Jatuh Cinta, Sepanjang Jalan Kenangan termasuk Jangan Ada Dusta Di Antara Kita yang

menyaksikan kolaborasi duet antara saya dengan penghibur senior, Lis Sugianto, adalah rangkaian lagu yang cukup saya minati,” katanya.

Beragama Islam, pemuda berusia 31 tahun itu terharu dengan sambutan yang diberikan kerana saat melancarkan album dengan judul namanya, Lucky, ia mendapat respons yang baik daripada pendengar.

“Alhamdulillah, setakat ini belum ada yang mempertikaikan cara nyanyian saya. Kalau ada yang cuba membeza-bezakan cara nyanyian saya dengan penyanyi asal itu perkara lumrah. Apapun, syukur kerana rata-rata menerima saya dengan cara tersendiri.

“Menyanyikan lagu dengan melodi yang kuat dan sudah popular pada sesetengah orang barangkali sebagai jalan pintas untuk cepat terkenal. Namun, sebaliknya saya mengambil cabaran ini dengan rasa hormat.

Menghitung hari untuk melancarkan album keduanya, konsep lagu saduran masih dikekalkan. Cuma yang berbeza untuk album kedua ini himpunan lagu lebih variasi dan pernah dipopularkan beberapa nama tersohor di negara kelahirannya seperti Kris Dayanti dan The Mercy.

Buat pertama kalinya, penyanyi yang cukup mengagumi Michael Buble itu bakal memperkenalkan lagu hasil ciptaannya sendiri berjudul Cinta Terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04

Harian Metro


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>